Malam tadi dapat berita yang seorang teman seperjalanan yang pernah diceritakan terdahulu
menghidap kanser, telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang kerana dalam keadaan kritikal. Ingatkan nak melawat arwah tengahari Jumaat ini tapi Allah lebih menyayangi dia. Pagi ini dapat berita yang dia telah kembali mengadap menciptanya. Terkedu sejenak.
Dengan ditemani Affini, kami bergegaf ke Shah Alam tapi sayang kerana tidak sempat melihat wajahnya buat kali terakhir. Arwah telah selamat dikebumikan. Setibanya kami di Tanah Wakaf Seksyen 21, Shah Alam, talkin sedang dibacakan. Ramai teman-teman lama dan staf dari ADTEC Shah Alam sudi menziarah. Memanglah suasana sangat sayu.
Terkenang kisah lama kami bersama. Detik mulanya perkenalan ialah semasa kami sama-sama ditempatkan di Jabatan Pembangunan Wanita dan Keluarga pada tahun 2002 . Kami jadi sangat mesra dan akrab sebab selalu out-station bersama. Teringat bagaimana kami meloloskan diri ke Mount Kinabalu dan merayau hingga ke Ranau dari Seminar di Nexus Resort & Spa, Karambunai. Terkenang kembali betapa enaknya kami menjamu selera di sebuah restoren di Menggatal kerana hari pertama seminar, makanan tidak disediakan. Kami order segelas air yang sangat besar dan berkongsi ramai-ramai. Alangkah mesranya kami saat itu. Mencukupkan korum ialah Rozanna dari N9, Rahmah dari Penang, Kak Cik dari Kedah, Jariah dari Perlis, Mariam dari Terengganu, Rahman dari Kelantan dan yang lain-lain yang lupa nama. Kami sangat akrab sebab beberapa hal. Seterusnya persahabatan tidak terputus hinggalah bertemu kembali di JTM.
Hari ini dia telah bersemadi dengan tenang dihari yang sangat mulia. Dia mengadap Illahi lebihkurang jam 1.00 tengahmalam Jumaat tadi dan selamat dikebumikan sebelum solat Jumaat. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-fatihah...amin